Lelaki maut ditikam di perhentian bas
Sinar Harian
Julai 13, 2024 16:40 MYT
Julai 13, 2024 16:40 MYT
KOTA BHARU: Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sebuah perhentian bas di Jalan Wakaf Siku di sini meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah disyaki akibat ditikam.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11 pagi Sabtu, lelaki berkenaan ditinggalkan sendirian sebelum disedari individu lain yang melalui kawasan berkenaan.
Lelaki yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, namun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian berdekatan lokasi yang mahu dikenali sebagai Harry, 27, berkata, dia nampak lelaki itu sedang tidur di atas tempat duduk menunggu bas.
"Ketika itu saya parkir kereta kira-kira 20 meter dari perhentian bas dan terus berjalan masuk ke kedai kerana tidak melihat perkara yang mencurigakan di sekitar kawasan itu," katanya.
Menurut Harry, setiap hari dia melihat ada individu yang tidur di situ tetapi tidak pasti sama ada individu sama atau sebaliknya.
"Saya tidak tinggal di sini dan tidak pernah menegur lelaki yang selalu tidur di perhentian bas itu," katanya.
Jelasnya, selepas dua jam berada di dalam kedai untuk membuat siaran langsung perniagaan dalam talian, dia ditemui anggota polis untuk bertanya mengenai kejadian itu selain memerlukan kamera litar tertutup di kedai berkenaan.
"Saya dan beberapa rakan lain terkejut mendengar berita itu tetapi kami semua tidak pergi ke lokasi walaupun kurang 50 meter dari kedai ini," katanya. - Sinar Harian