Lelaki maut ditikam botol dalam pergaduhan di Bangsar

Astro Awani
Mac 13, 2021 10:49 MYT
Polis sudah mengenalpasti sekurang kurangnya lima suspek lain terbabit dalam pergaduhan itu dan kesemua mereka sedang dijejaki. - Foto tular.
KUALA LUMPUR: Dendam lama dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki berhampiran Bangsar Village di Jalan Telawi 2 ,Bangsar, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu seorang lelaki berusia 27 tahun maut akibat ditoreh dengan pisau di bahagian badan serta ditikam dengan kaca botol arak manakala seorang lagi lelaki berusia 30 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya sudah mengenalpasti sekurang kurangnya lima suspek lain terbabit dalam pergaduhan itu dan kesemua mereka sedang dijejaki.
Menurut maklumat awal kejadian pergaduhan itu berlaku sekitar 1 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati mangsa yang meninggal dunia bersama rakannya ke Jalan Telawi untuk minum di sebuah kedai.
Jenayah | Lelaki maut dalam pergaduhan di Bangsar

Selepas selesai, ketika dalam perjalanan untuk ke tempat meletak kenderaan kumpulan itu bertembung dengan satu lagi kumpulan sebelum berlaku pergaduhan.

Mangsa yang mengalami kecederaan akibat diserang telah melarikan diri ke arah Bangsar Village sebelum rebah di hadapan sebuah kedai serbaneka.
Mangsa telah dibawa ke hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah dirawat di hospital sama.
Semakan mendapati kedua-dua lelaki yang maut dan cedera parah itu mempunyai rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302/326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan cedera parah.
#bergaduh di Bangsar #jenayah #minuman keras #suspek #siasatan #jalan telawi #bergaduh #mati #mangsa