Lelaki maut ditetak sekumpulan lelaki bertopeng, berparang
Bernama
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
Ogos 26, 2024 20:45 MYT
JASIN: Seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata dalam kejadian 8.39 malam itu, mangsa berusia 24 tahun yang cedera sempat menghubungi adik lelakinya berusia 22 tahun untuk membawanya mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Jasin.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira 10.15 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan manakala adiknya turut dikejar kumpulan penjenayah berkenaan namun berjaya menyelamatkan diri.
"Selepas adik mangsa menghantarnya ke hospital, kereta yang dipandunya telah dihalang sebuah lagi kereta dinaiki sekumpulan lelaki yang turut membawa sebilah parang sebelum bertindak memecahkan cermin keretanya.
"Ketika lelaki berkenaan cuba melarikan diri, kereta yang dipandunya telah terlanggar sebuah ambulans sehingga menyebabkan kenderaan itu kemek pada bahagian bawah lampu sebelah kanan van berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata adik mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada kumpulan lelaki bersenjata parang itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin sebelum membuat laporan polis.
Katanya susulan itu, tiga lelaki berusia 21, 22 dan 31 ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ahmad Jamil berkata usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan dan motif atau punca kejadian masih dalam siasatan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohamad Ehsan Abu Bakar di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206).
Hari ini, tular di media sosial mengenai pergaduhan di luar Unit Kecemasan Hospital Jasin berpunca daripada kes tetak tersebut.
-- BERNAMA