Lelaki maut ditembak pada malam Tahun Baharu Cina
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 1, 2022 10:30 MYT
Februari 1, 2022 10:30 MYT
SEBERANG PERAI: Dendam dipercayai punca seorang lelaki tempatan ditembak 12 das tembakan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa berusia 31 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tingkat tiga kondominium.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihak polis menemui 12 kelongsong peluru di sekitar mayat mangsa bagaimanapun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui jumlah das tembakan yang terkena mangsa.
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya mangsa diserang dua suspek bersenjatakan pistol.
"Mangsa juga dipercayai menyewa kondominium ini sejak kira-kira lima bulan lalu," katanya kepada media.
Mohd Shuhaily berkata, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu adalah bermotifkan dendam berkutan mangsa turut didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah.
"Mangsa mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau, dan kita tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah disebabkan dendam, namun siasatan lanjut masih dijalankan" katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.