Lelaki maut ditembak ketika makan di restoran
Sinar Harian
Januari 8, 2025 18:15 MYT
Januari 8, 2025 18:15 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut dipercayai ditembak ketika sedang menjamu selera bersama rakan-rakan di sebuah restoran di Taman Setia Indah di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam melaporkan kejadian itu.
"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti suspek, saksi kejadian dan motif kejadian.
"Polis juga sedang menunggu keputusan bedah siasat. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan video kejadian dalam media sosial bagi mengelak spekulasi dan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat kejadian boleh disalurkan kepada polis menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 11 saat menunjukkan orang ramai dan kenderaan polis serta anggota berada di lokasi kejadian. - Sinar Harian