Lelaki maut dirempuh pacuan empat roda

Azee Shafy
Oktober 28, 2022 01:30 MYT
Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Tembangau 1 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. - Foto ihsan pembaca Astro AWANI
BERA: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian kira-kira 5.50 petang di KM49 Jalan Felda Triang 1 - Tembangau, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Bera, Suprintendan Mansor Samsudin berkata, mangsa, Mohd Imran Ismail, 27 tahun, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Tembangau 1 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Tembangau 1, dikatakan bersama rakan-rakan lain menunggang motosikal secara konvoi selepas menghadiri Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di Dataran Kerayong, pada hari yang sama.
"Siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda itu hilang kawalan lalu memasuki laluan motosikal dan merempuh mangsa sehingga mengakibatkan kemalangan.
"Akibat kemalangan tersebut,mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kenderaan jenis Mitsubishi itu tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mansor berkata, semasa kejadian, cuaca hujan dan jalan basah semasa di lokasi kejadian.
Katanya lagi, hasil siasatan awal juga mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu pacuan empat roda yang telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan hingga menyebabkan kemalangan berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
#penunggang motosikal maut #Nahas #pacuan empat roda #Mansor Samsudin