Lelaki maut dipercayai terhidu gas daripada tong simpanan ikan
Ruzaini Zulkepli
April 27, 2019 20:10 MYT
April 27, 2019 20:10 MYT
Seorang lelaki warga Indonesia maut manakala rakannya kritikal selepas terhidu gas beracun yang dipercayai berpunca daripada tong simpanan ikan lama dalam kejadian di Jalan Lubok Poring-Company Kaya Shipyard, Sepanggar, Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Dalam kejadian itu Hasril La Ridi, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang hanya dikenali sebagai Eni, 31, kritikal dan kini ditempatkan di wad kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban dalam kenyataan medianya hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.03 tengah hari tadi berhubung insiden tersebut sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.
"Sepasukan anggota daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, kemudiannya digegaskan ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut.
"Menurut laporan, setibanya pasukan bomba, didapati ada dua lelaki terbaring dan disyaki pengsan selepas difahamkan terhidu gas ketika membuka tong simpanan ikan lama di lokasi kejadian.
" Seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai
perubatan manakala seorang lagi mangsa dilaporkan kritikal dan telah dibawa ke hospital menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Jelas beliau, mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tambah Khatizah, pasukan Hazmat yang bertugas kemudiannya menjalankan operasi mengenal pasti jenis gas beracun mendapati tidak terdapat sebarang tanda gas amonia dilaporkan di lokasi terbabit.
Beliau berkata, jenis gas yang terbabit masih belum dapat dikenal pasti bomba dan operasi itu tamat sepenuhnya pada jam 1.30 petang.