Lelaki maut dipercayai tembak diri sendiri
Dewi Nur Harasha Alias
April 24, 2019 23:43 MYT
April 24, 2019 23:43 MYT
Seorang lelaki tidak menyangka ugutan abangnya mahu membunuh diri sebelum ini bukan sekadar amaran sebaliknya dia benar-benar bertindak melakukannya.
Mayat S. Kumaravelu, 38 tahun, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas lantai dengan sepucuk pistol jenis revolver di atas katil rumah sewanya di Lengkuk Merbah 1, Bayan Lepas ,Pulau Pinang oleh adik lelakinya pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, kejadian disedari adik lelaki mangsa yang datang ke rumah abangnya pada jam 2.30 petang.
Menurutnya, sewaktu tiba di rumah dia mendapati pintu pagar rumah itu berkunci namun dengan bantuan tukang kunci, pintu rumah berkenaan berjaya dibuka.
Bagaimanapun dia terkejut sebaik melihat abangnya sudah tidak bernyawa.
Difahamkan juga, terdapat kesan tembakan di dada mangsa.
Anbalagan berkata, menurut maklumat keluarga, sebelum kejadian, mangsa dikatakan pernah memberitahu bekas teman wanitanya yang berada di Australia yang dia mahu membunuh diri namun tidak menyatakan punca mengapa dia mahu berbuat demikian.
Wanita tersebut yang bimbang dengan ugutan berkenaan kemudian memaklumkan perkara itu kepada kakak mangsa.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Anbalangan berkata hasil siasatan pihak polis mendapati mangsa pernah mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.
Bagaimanapun pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa.
Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana membunuh diri.
#bunuh diri
#Hospital Pulau Pinang
#Lengkuk Merbah 1
#Polis Daerah Barat Daya
#S Kumaravelu
#Superintendan A A Anbalagan