Lelaki maut dipercayai dihempap forklift
Bernama
Februari 6, 2019 05:30 MYT
Februari 6, 2019 05:30 MYT
Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas dipercayai dihempap 'forklift' dipandunya yang terbalik di jalan berhampiran Ostrich Farm, Kampong Pasir, Jalan Sungai Lalang, Semenyih petang Rabu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada kira-kira 5.32 petang dan segera mengerahkan lapan anggota dan pegawai ke lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.
"Setelah tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa dikenali sebagai Azmir telah dihempap forklift pada bahagian leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Semenyih," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa berusia 21 tahun itu menggunakan beg udara sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA