Lelaki maut dipanah petir ketika tidur atas buaian

Bernama
Mei 28, 2024 20:30 MYT
Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut dipanah petir ketika sedang tidur di atas buaian di pondok rehat di hadapan rumahnya semasa cuaca hujan lebat di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, semalam. - Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun maut dipanah petir ketika sedang tidur di atas buaian di pondok rehat di hadapan rumahnya semasa cuaca hujan lebat di Kampung Baru Pulau Tiga, Sungai Layar, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata mangsa Mohammad Shahrim Sheh Ali, yang bekerja sebagai pemandu kren sebelum itu dikatakan tidur berseorangan di atas buaian tersebut.
"Kejadian yang dipercayai berlaku lebih kurang jam 9.45 malam semasa hujan lebat dan petir...isterinya yang berusia 31 tahun hanya menyedari keadaan suaminya yang tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 malam.
"Isteri mangsa bersama abangnya dan rakan-rakan mangsa menyangka dia tidur dan tidak mengejutkannya...apabila isterinya keluar dan mengejutkannya, mangsa didapati tidak bergerak dan tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Azharuddin, anggota keluarga mangsa kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
"Siasatan lanjut mendapati mangsa berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai sebarang rekod penyakit kronik.
"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan terbakar pada kayu untuk menggantung buaian dan wayar elektrik telah putus dan terdapat kesan terbakar pada mangsa dipercayai berpunca daripada panahan petir...tiada unsur jenayah," katanya.
Menurutnya mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
-- BERNAMA
#dipanah petir #tidur atas buaian #Mohammad Shahrim Sheh Ali #Kampung Baru Pulau Tiga
;