Lelaki maut dipanah petir ketika pasang perancah besi
Rudi Affendi Khalik
September 23, 2017 23:18 MYT
September 23, 2017 23:18 MYT
Seorang bapa mentua hanya sempat melihat dan menahan jasad menantunya daripada jatuh, selepas terkulai dipanah petir di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja memasang perancah besi di sebuah tapak projek pembinaan.
Identiti mangsa, yang bekerja sebagai buruh binaan, disahkan sebagai Nasion Raby Tagik, 26, dari Rumah Jengging, Sungai Lajan, Song.
"Ketika itu, cuaca agak mendung, berangin dan hampir hujan.
"Mangsa sedang bekerja di tingkat satu bangunan tersebut apabila secara tiba-tiba kilat memanah tepat ke bahagian kepalanya, menyebabkannya terkulai dan rebah serta-merta," kata Abang Ahmad.
Badan mangsa, katanya, bagaimanapun sempat disambar bapa mentua dan rakan sekerjanya yang berada berhampiran sebelum jatuh ke bahagian bawah bangunan.
Pihak polis dan pasukan paramedik kemudiannya dihubungi dan selepas itu mengesahkan kematian mangsa.
Siasatan awal katanya mendapati, kejadian tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat," tambahnya.
#Abang Ahmad Abang Julai
#Hospital Umum Sarawak
#Kuching
#maut
#Nasion Raby Tagik
#panah petir
#polis
#tapak pembinaan