Lelaki maut dilibas parang
Abd Razak Mohd Ali
Mac 1, 2020 14:37 MYT
Mac 1, 2020 14:37 MYT
Seorang lelaki maut dipercayai ditetak dengan parang panjang oleh seorang lelaki yang dikatakan mengalami masalah mental di Jalan Malim 6, Taman Malim di sini kira-kira jam 9 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintendan Koo Tai Chew, mangsa dikenali sebagai G D Subramaniam, 34, yang bekerja sebagai wireman.
Sehubungan itu, polis menahan suspek, seorang penganggur berusia 57 tahun yang dikatakan mengalami masalah mental sejak keluar dari Penjara Tapah tiga tahun lepas kerana kesalahan dadah.
“Suspek pernah dirawat di Hospital Slim River tiga tahun lepas dan mengambil ubat penenang untuk mengelakkan penyakit mentalnya datang.
“Namun sudah lebih kurang setahun suspek tidak mengambil lagi ubat itu kerana dia enggan dan merasakan tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakitnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Koo berkata, menurut ibunya, suspek juga sering keluar rumah dengan membawa sebilah parang, kayu atau buluh yang terdapat di rumahnya dan akan memarahi orang di sekelilingnya tanpa sebab, di samping mengejar individu tersebut jika melihat atau merenungnya.
Menurutnya, suspek mengaku telah memukul mangsa dengan menggunakan sebilah parang panjang kerana mangsa telah merenungnya semasa mereka berada di tepi jalan di tempat kejadian.
“Setelah itu mangsa pun rebah dan suspek terus pergi meninggalkan mangsa dan telah pergi ke bengkel berdekatan lalu memecahkan cermin kereta, peti surat dan pasu bunga dengan menggunakan parang yang sama,” ujarnya.
Suspek yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau, kemudiannya dikatakan pulang ke rumah dan menukar pakaiannya sebelum keluar semula menaiki motosikal menuju ke belakang sebuah pasaraya untuk menghisap dadah.
Katanya, suspek pergi semula ke tempat kejadian mangsa dipukul dan mendapati mangsa telah terbaring atas rumput dan masih bernafas namun tidak bangun.
“Suspek kemudiannya pulang ke rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian dan mengambil sebaldi air dan pergi ke arah mangsa tetapi mangsa telah berada di dalam longkang bersebelahannya.
“Suspek telah bertindak mencurah air ke atas badan mangsa dengan harapan mangsa akan bangun,” ujarnya.
Menurut Koo, hasil pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan mangsa luka sepanjang 6 sentimeter di bawah telinga sebelah kiri dengan kedalaman 2 sentimeter.
Rumah yang bersebelahan dengan tempat kejadian tidak berpenghuni kerana sedang dalam proses ubahsuai dan tiada kamera litar tertutup (CCTV) mahupun saksi bebas menyaksikan kejadian tersebut.
Polis merampas sebilah parang panjang berukuran 76 sentimeter dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.