Lelaki maut dilanggar pemandu mabuk melawan arus di Kuantan

Mohd Zalani Md Atan
Mei 25, 2020 05:35 MYT
Kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu itu telah memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus. - Foto pembaca
Seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan Kuantan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, polis menerima maklumat dari orang awam mengenai seorang mangsa yang dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu melawan arus pada kira-kira jam 9.38 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila pemandu kereta jenis Toyota CHR yang datang dari arah Semambu itu telah memasuki jalan menghala ke pelabuhan secara melawan arus.
Ia turut dipandu secara merbahaya dan telah mengakibat beberapa kenderaan lain mengalami kemalangan kerana mengelak dari bertembung, katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat manakala suspek yang cedera di bahagian kaki turut dihantar ke hospital yang sama bagi menerima rawatan lanjut.
Polis telah menahan suspek untuk direman.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu dalam pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
#alkohol #Jalan Pintasan Kuantan #jalan raya #kemalangan maut #kematian #Kuantan #langgar #mabuk #melawan arus #Mohamad Noor Yusof Ali #polis #reman #suspek #syif malam
;