Lelaki maut dilanggar kereta api di Bukit Mertajam

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 22, 2023 17:59 MYT
Mayat tanpa identiti itu ditemui orang awam yang menghubungi polis kira-kira jam 8.30 malam. - Gambar hiasan
BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki maut digilis kereta api di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berdekatan Taman Sri Kijang, Machang Bubuk Bukit Mertajam malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San berkata, mayat tanpa identiti itu ditemui orang awam yang menghubungi polis kira-kira jam 8.30 malam.
"Berdasarkan pemerhatian, mangsa dianggarkan berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan telah meninggal dunia.
"Mangsa dipercayai dilanggar oleh kereta api yang berada di landasan laluan arah Bukit Mertajam ke Simpang Ampat.
"Siasatan awal polis di tempat kejadian, tiada kesan suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG) ditemui pada si mati selain tiada dokumen pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.
Cheng San meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di talian 04-538 2222 bagi membantu pengecaman mayat.
"Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak menceroboh kawasan yang dipagar atau melintas landasan KTMB kerana boleh membahayakan nyawa dan merosakkan harta benda," katanya.
#kemalangan kereta api #Bukit Mertajam #KTMB #maut dilanggar
;