Lelaki maut dilanggar kenderaan undur sendiri

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 27, 2024 06:45 MYT
Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya yang mengundur secara tiba-tiba dalam kejadian di Kampung Pasir Putih, Jalan Padang Pulut, Jeneri, Sik, pada Selasa. - Gambar PDRM
SIK: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux miliknya yang mengundur secara tiba-tiba dalam kejadian di Kampung Pasir Putih, Jalan Padang Pulut, Jeneri, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, anggota polis di pejabat pertanyaan trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik menerima makluman berkaitan seorang lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah kenderaan pacuan empat roda di tempat kejadian pada jam 4.30 petang.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa, Lim Gok Hong, 59, baru keluar dari kebun betik miliknya untuk pulang ke rumahnya di Yan.
"Namun, sebaik tiba di jalan masuk ke kebun, mangsa meletakkan gear dalam keadaan neutral (N) dan hanya menarik brek tangan separuh sebelum turun dari kenderaannya untuk menutup pintu pagar kebunnya itu.
"Sewaktu mangsa menutup pintu pagar, secara tiba-tiba kenderaan itu mengundur ke belakang lalu melanggar mangsa menyebabkan mangsa tersepit di bawah kenderaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Abdull Razak berkata, mayat mangsa ditemui berada dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Nahas #pacuan empat roda #undur sendiri #pagar kebun
;