Lelaki maut dilanggar ERL

Hakim Rahman
April 11, 2016 18:27 MYT
Mangsa Lee Ah Lai, 58, berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selain putus kaki kanan.
Seorang lelaki maut dilanggar tren KLIA Ekspres ketika sedang melintas di landasan kereta api belakang Stesen LRT Sungai Besi, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.07 pagi itu, mangsa Lee Ah Lai, 58, berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selain putus kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin, berkata pemandu kereta api laju itu tidak menyedari telah melanggar mangsa.
"Pemandu hanya perasan ada melanggar satu 'objek' ketika dalam perjalanan dari KL Sentral ke KLIA namun tidak pasti apa objek berkenaan," katanya dalam kenyataan.
Pemandu itu kemudiannya memaklumkan kepada pusat kawalan KLIA Ekspres yang kemudiannya mengarahkan pemandu kereta api seterusnya memeriksa kawasan itu ketika melalui laluan berkenaan dan menemui mayat mangsa di tepi longkang.
"Petugas pusat kawalan KLIA Ekspres kemudian memaklumkan kejadian kepada polis jam 8.30 pagi. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa tercampak kira-kira 25 meter ke longkang dari lokasi rempuhan.
"Kepala mangsa pecah, gigi bertaburan serta kaki kanannya separas lutut putus dan sehingga kini belum ditemui," katanya lagi.
Beliau berkata, polis percaya mangsa cuba melintas di laluan berkenaan dari LRT Sungai Besi melalui satu pintu pagar yang tidak ditutup rapi.
Pihaknya juga percaya mangsa adalah pesakit psikiatri selepas menemui satu kad rawatan dari Klinik Psikiatri Hospital Bukit Mertajam yang tertera nama mangsa.
#dilanggar #KLIA Ekspres #Lee Ah Lai #LRT Sungai Besi #maut
;