Lelaki maut dikelar, rakan ditikam parah

Sinar Harian
Disember 1, 2024 15:39 MYT
eorang lelaki maut dikelar manakala seorang lagi parah ditikam dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja ladang di sini pada malam Jumaat.
KINABATANGAN: Seorang lelaki maut dikelar di bahagian leher manakala seorang lagi parah ditikam di bahagian dada dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja ladang di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang maut Christian Andi, 30-an manakala seorang lagi mangsa yang parah Bernadus Bagalewok, 24, kini sedang dirawat di Hospital Beluran.
Pemangku Ketua Polis Daerah Beluran, Asisten Superintenden Mohd Zulfikar Abd Salam berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak hospital pada jam 2.06 pagi Jumaat.
Katanya, lokasi kejadian terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Balai Polis Telupid dan sepasukan polis terpaksa melalui jalan tidak berturap dan tanah merah berserta lumpur selain tiada jaringan talian komunikasi.
"Hasil siasatan mendapati, pada hari kejadian terdapat satu sambutan hari jadi salah seorang pekerja ladang sekitar jam 6.30 petang hingga 9 malam.
"Pada jam 11 malam, berlaku kekecohan sehingga terjadi pergaduhan melibatkan suspek dengan mangsa yang maut di mana suspek telah menyerang mangsa sehingga mendapat kecederaan di bahagian leher," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya lagi, seorang lagi mangsa yang tinggal berhadapan dengan rumah suspek terdengar kekecohan di luar rumah telah bertindak keluar dari rumahnya.
"Mangsa kemudian melihat suspek keluar dari dalam rumah sambil memegang pisau dan terus meluru ke arahnya lalu terkena tikaman di bahagian tengah dada.
"Mangsa sempat menendang suspek selepas ditikam menyebabkan suspek terjatuh, mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan suspek terus melarikan diri bersama pisau yang digunakan," katanya.
Mohd Zulfikar berkata, mangsa yang maut sempat melarikan diri ke arah rumah pekerja di blok berhampiran dengan jarak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian untuk meminta bantuan.
"Namun mangsa telah rebah di kerusi depan rumah tersebut dan dipercayai telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan di bahagian leher akibat dikelar.
"Sementara itu, mangsa yang cedera di dada pula dibawa ke hospital dan kini dirawat di Hospital Duckess of Kent, Sandakan serta dalam keadaan stabil," katanya.
Tambah Mohd Zulfikar lagi, kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan.
"Siasatan juga mendapati suspek dan mangsa dipercayai mabuk selepas minum minuman beralkohol. Pihak polis sedang giat memburu suspek berusia 40-an yang juga merupakan pekerja ladang di kawasan tersebut. -- Sinar Harian
#lelaki maut dikelar #Kinabatangan #rakam ditikam parah #Polis Daerah Beluran
;