Lelaki maut dihempap traktor di Beaufort
Ruzaini Zulkepli
Ogos 12, 2020 06:47 MYT
Ogos 12, 2020 06:47 MYT
Malang tidak berbau, seorang pekerja ladang maut apabila traktor dipandunya terbalik sebelum menghempap badannya dalam kejadian di Kampung Luagan, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa Abdul Hamid Rajja, 69 tahun, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala serta leher.
Kejadian disahkan Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak.
"Ketika kejadian, mangsa sedang melakukan kerja-kerja memunggah buah kelapa sawit di ladangnya menggunakan sebuah traktor.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, semasa mangsa melintasi sebatang parit kecil, traktor yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu tergelincir dan terbalik sebelum mangsa dihempap oleh traktor tersebut.
"Akibatnya, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan leher," katanya dalam satu kenyataan.
Kematian disahkan pegawai perubatan yang tiba di lokasi.
Menurut Azmir, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian mangsa yang gagal mengawal jentera dipandunya.
Jelas beliau, tiada unsur jenayah atau khianat dikesan dalam kemalangan terbabit setakat ini, namun siasatan lanjut masih giat dijalankan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#Abdul Hamid Rajja
#Azmir Abdul Razak
#cedera parah
#cuai
#gagal mengawal jentera
#hempap
#Kampung Luagan
#kecuaian
#mangsa
#maut
#melintas parit
#meninggal dunia
#pekerja ladang
#siasatan
#traktor