Lelaki maut dihempap tong bahan kimia hampir 1 tan
Nazialita Geynna Maharan
Februari 10, 2016 07:59 MYT
Februari 10, 2016 07:59 MYT
Seorang lelaki maut dihempap tong berisi bahan kimia seberat hampir satu tan berhadapan Balai Polis Menglembu pada malam Rabu.
Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ismail Darus berkata kejadian berlaku selepas motosikal yang dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori treler yang membawa muatan bahan kimia.
"Kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal dan lori treler yang membawa muatan bahan kimia berisi "methyl chloride" sebanyak tujuh tong dengan setiap tong adalah seberat 920 kilogram.
"Kedua-dua kenderaan telah berlanggar dan impak tersebut telah menyebabkan tong jatuh dan menghempap penunggang motosikal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Rabu.
Tambah beliau, mangsa telah disahkan mati di tempat kejadian dan pihaknya terpaksa mengunakan "air lifting bag" untuk mengalihkan tong tersebut daripada mangsa.
"Kerja pengalihan tong-tong tersebut ke lori lain telah dilakukan oleh pihak syarikat terlibat dan tiada kebocoran yang berlaku," ujarnya.