Lelaki maut dihempap timbunan kayu di tempat kerja

Bernama
Ogos 30, 2024 23:55 MYT
Seorang lelaki maut dihempap timbunan kayu di tempat kerjanya dalam kejadian yang berlaku di sebuah kilang kayu di Ayer Tawar dekat Sitiawan. - Foto Polis Manjung
IPOH: Seorang lelaki maut dihempap timbunan kayu di tempat kerjanya dalam kejadian yang berlaku di sebuah kilang kayu di Ayer Tawar dekat Sitiawan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.20 pagi melalui maklumat orang awam berhubung kejadian yang menimpa mangsa berusia 41 tahun itu.
"Saksi kejadian memaklumkan terdengar bunyi timbunan kayu jatuh dan ternampak seperti ada kelibat manusia di bawah timbunan kayu lalu segera memberikan bantuan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan daripada timbunan kayu, namun tidak memberikan sebarang tindak balas. Mangsa dipercayai cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Nordin berkata kejadian berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kes masih dalam siasatan pihak polis.
-- BERNAMA
#dihempap timbunan kayu #tempat kerja #Ayer Tawar #Polis Daerah Manjung
;