Lelaki maut dihempap pokok balak
Sinar Harian
November 12, 2024 12:40 MYT
November 12, 2024 12:40 MYT
DUNGUN: Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap sebatang pokok balak di kawasan pembalakan Kampung Hulu Paka di sini pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Noor Fadzly@Rudy Md Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.34 petang.
"Didapati seorang lelaki warga Indonesia berusia 54 tahun dihempap sebatang pokok besar berukuran 250 sentimeter ukur lilit semasa melakukan kerja-kerja pembalakan.
"Mangsa dihempap di bahagian kepala dan tersepit di bahagian kaki telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menerusi peralatan digunakan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noor Fadzly berkata, pihaknya menghadapi kesukaran untuk sampai di lokasi kerana faktor jalan dan keadaan cuaca hujan ketika itu.
Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dari BPP AMBS dan dua jentera telah dikerahkan ke tempat kejadian. - Sinar Harian