Lelaki maut dihempap kenderaan sendiri

Rohana Wahed
Julai 26, 2020 12:33 MYT
Pasukan bomba, katanya, kemudian menggunakan rescue tools dan dibantu trak penunda untuk mengeluarkan mangsa. - JBPM Sarawak
Seorang lelaki maut setelah tercampak keluar sebelum dihempap keretanya sendiri dalam satu kemalangan di sini lewat malam Sabtu.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, insiden berlaku di hadapan Hospital Nyabau, di sini, dengan mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terbalik di dalam longkang.
"Pihak kami menerima panggilan kecemasan jam 11.26 malam pada Sabtu dan segera mengatur gerak sebuah jentera dan ambulans EMRS dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bintulu.
"Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan mangsa tersepit di bawah kenderaan.
"Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan ketika kemalangan berlaku.
Pasukan bomba, katanya, kemudian menggunakan ‘rescue tools’ dan dibantu trak penunda untuk mengeluarkan mangsa.
Mangsa dikenal pasti sebagai Albert Ato, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Hospital Nyabau.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk prosedur bedah siasat.
#Bintulu #bomba #Hospital #kemalangan #lelaki #mangsa #maut #mayat
;