Lelaki maut dihempap jengkaut

Adie Sufian Zulkefli
Jun 7, 2024 19:07 MYT
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 39 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto: BBP Sungai Petani
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang juga pemandu jengkaut maut selepas dihempap jentera kendaliannya sewaktu melakukan kerja-kerja membuat jalan di lereng bukit di Jalan Semeling, Taman Tasek Semeling, Bedong, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, mangsa yang berusia 39 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.10 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sungai Petani yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Abdul Aziz tiba di lokasi bersama sembilan anggota.
"Setiba di lokasi, Komander Operasi memaklumkan mangsa berada di bawah jengkaut terbabit.
"Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas sambil dibantu jengkaut lain untuk mengangkat jengkaut mangsa.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#hempap jengkaut #maut #Balai Bomba dan Penyelamat #Sungai Petani
;