Lelaki maut dihempap forklift

Astro Awani
Februari 8, 2021 11:05 MYT
Seorang lelaki maut apabila jentera forklift yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya. -Foto Sinar Harian
BATU PAHAT: Seorang lelaki maut apabila jentera forklift yang dipandunya hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi tadi di Jalan Parit Hasyim, Kampung Parit Hasyim, Ayer Hitam, dekat sini, lapor Sinar Harian.
Mangsa yang berusia 28 tahun dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang berhampiran menggunakan jalan kampung yang merupakan laluan berbukit.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin, jentera berat itu menjadi tidak stabil lalu terbalik dan menghempap mangsa.
"Pemandunya dihempap forklift berkenaan.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.34 pagi sebelum lapan anggota dihantar ke tempat kejadian dibantu satu jentera Fire Rescue Team (FRT).
"Pihak bomba yang diketuai Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Shalneeraj Abdullah tiba pada jam 3.50 pagi kerana tempat kejadian agak jauh dari BBP Ayer Hitam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.
Katanya, pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan rescue tools dalam masa kira-kira 20 minit.
Mangsa katanya, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada jam 4.50 pagi.
#Batu Pahat #polis #maut #hilang #meninggal dunia #bomba #mangsa #operasi #perubatan #lelaki
;