Lelaki maut dihempap batu kuari
Aida Aziz
Julai 1, 2019 15:04 MYT
Julai 1, 2019 15:04 MYT
Seorang lelaki maut akibat dihempap batu kuari bersama-sama dengan jentera berat ketika melakukan kerja-kerja memecah batu di sebuah kuari di Sungai Raia, Keramat Pulai, pada Isnin.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa Loi Thiam Fatt, 56, disahkan maut oleh pegawai perubatan dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi itu.
"Setibanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai di lokasi kejadian mencapati seorang mangsa lelaki telah dihempap batu kuari ketika kerja memecah batu sedang dijalankan.
"Pihak syarikat menggunakan kren untuk mengalihkan jentera excavator yang terbalik dari sisa runtuhan sebelum anggota bomba menggunakan alatan menyelamat untuk memotong besi jentera tersebut," katanya.
Ujarnya, kerja-kerja menyelamat kemudian dijalankan bagi mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#batu kuari
#bomba dan penyelamat
#jentera excavator
#kuari
#lelaki maut dihempap batu
#loi thiam fatt
#mangsa
#sungai raja