Lelaki maut dihanyutkan arus deras bersama kenderaan

Bernama
Mac 1, 2022 23:51 MYT
Mayat mangsa ditemukan dalam kenderaannya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat. - Gambar hiasan
SANDAKAN: Seorang lelaki berumur 26 tahun ditemukan maut dalam kenderaannya hari ini selepas dipercayai dihanyutkan arus deras di Jambatan Sungai Mamanjang 50 kilometer (km) dari sini.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata kejadian pada 1.15 petang tadi berlaku ketika air sungai tersebut melimpah susulan hujan lebat.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa Kahar Asis keluar dari rumahnya hendak ke tempat kerja di kilang minyak sawit Ladang Hassan dengan menaiki kenderaannya selepas rehat makan tengah hari.
"Mangsa dipercayai meredah kawasan tersebut dan akhirnya dihanyutkan oleh arus deras ke dalam sungai bersama kenderaannya," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Menurut Azhar, mayat mangsa ditemukan dalam kenderaannya kira-kira 30 meter dari tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bersama agensi penyelamat lain mengeluarkan kenderaan jenis Proton Iswara itu menggunakan jentera jengkaut.
Justeru, Azhar menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil risiko dengan meredah arus deras ketika paras air semakin meningkat susulan hujan lebat.
-- BERNAMA
#banjir sabah #Sandakan #lelaki maut #terperangkap dalam kenderaan
;