Lelaki maut digilis lori ketika tukar tayar

Astro Awani
Mei 10, 2017 11:34 MYT
Kemalangan berlaku kira-kira jam 5. 30 pagi di kilometer 360.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun.
Seorang pekerja operasi sebuah syarikat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB), maut manakala rakannya cedera parah selepas dirempuh sebuah treler ketika sedang menukar tayar di tepi jalan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di kilometer 360.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun.
Mohd Zalaini Mohd Shafee, 31 tahun, yang digilis treler terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya Mohamad Abdul Azhim Suhairi, 18 tahun, dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk pulang ke Kemaman.
Mangsa dikatakan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan untuk menukar tayar hadapan kereta Perodua Myvinya yang bocor.
Beliau kemudiannya menghubungi rakannya, Firdaus Asmadi, 23 tahun, yang datang bersama Ahmad Ihsan Asyraf Yusof, 19 tahun, dengan membawa spanar tayar.
Menurut Firdaus, beliau yang datang dari arah Kemaman melintas ke seberang jalan untuk membantu mangsa.
Sebuah treler yang datang dari arah sama kemudiannya merempuh kenderaan dan menggilis mangsa yang sedang menukar tayar.
Mohd Zalaini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan sementara Ahmad Ihsan patah tulang punggung.
Firdaus yang tercampak ke dalam parit hanya patah jari manakala Mohamad Abdul Azhim tidak cedera.
Jenazah mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan #Kemaman #Kuala Terengganu #LPT2 #meninggal dunia