Lelaki maut digilis bas ekspres ketika lintas lebuh raya di Sungai Buloh
Astro Awani
September 26, 2019 05:19 MYT
September 26, 2019 05:19 MYT
Seorang lelaki dilanggar dan digilis sebuah bas ekspres ketika cuba melintas lebuh raya bagi mendapatkan bantuan setelah kenderaannya mengalami kerosakan.
Kejadian berlaku kira kira jam 1.10 pagi tadi di kilometer 451.8 lebuhraya PLUS dari Sungai Buloh menghala ke pusat bandar raya.
Dipercayai kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota milik mangsa mengalami kerosakan di laluan tengah lebuh raya.
Mangsa keluar dari kenderaan dan cuba mendapatkan bantuan pengguna jalan raya.
Juruteknik S. Yogeswaran Pillai, 23, yang terlihat mangsa terus memberhentikan kenderaannya di tepi lebuh raya untuk membantu.
Menurut Yogeswaran, mangsa cuba melintas jalan untuk mendapatkan bantuannya, namun dilanggar sebuah bas ekspres yang tidak sempat mengelak.
Mangsa digilis dan diseret sejauh 20 meter. Kenderaan mangsa juga dirempuh.
Sejumlah 15 penumpang bas ekspres dari utara tanah air dan juruteknik itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu bas dan juruteknik itu diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
Kes disiasat mengikut seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan.
#4WD
#digilis bas ekspres
#juruteknik
#Lebuhraya PLUS
#Sungai Buloh menghala ke pusat bandar raya
#Yogeswaran Pillai