Lelaki maut dibaham buaya di muara sungai
Sinar Harian
Mac 9, 2022 07:20 MYT
Mac 9, 2022 07:20 MYT
PITAS: Seorang lelaki didakwa meninggal dunia akibat dibaham buaya ketika mencari kerang di muara Sungai Kampung Mapan-Mapan, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian itu, mayat mangsa yang belum diketahui identitinya dikatakan telah dibawa ahli keluarga ke Pulau Banggi, Kudat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Balai Polis Pitas pada jam 1.30 petang.
"Dikatakan, seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika mengutip kerang di muara sungai berkenaan.
"Bagaimanapun, menurut maklumat polis juga, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 5 petang hari yang sama dan dibawa ke Pulau Sibugo, Banggi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Katanya lagi, maklumat mangsa tidak dapat diperoleh disebabkan keluarga mangsa enggan memberi kerjasama dan operasi ditamatkan pada jam 4.30 petang Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, usaha mengesan semua saksi berhubung kejadian itu sedang dilakukan.
"Setakat ini kejadian belum dapat disahkan dan hanya sekadar dakwaan.
"Dipercayai mangsa yang terlibat seorang Palauh dan usaha mengesan saksi-saksi sedang dilakukan bagi mengesan di mana mayat dibawa," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian