Lelaki maut di parkir kondominium ditembak dua lelaki bermotosikal - Polis

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 1, 2022 10:36 MYT
Dua lelaki bermotosikal dan bersenjata api dipercayai telah menembak mati seorang lelaki tempatan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, malam Isnin. - Foto ihsan pembaca
SEBERANG PERAI: Dua lelaki bermotosikal dan bersenjata api dipercayai telah menembak mati seorang lelaki tempatan dalam kejadian di tempat letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan mendapati dua lelaki tidak dikenali menaiki motosikal telah menembak mangsa, iaitu seorang lelaki berbangsa India berusia 31 tahun.
"Semakan mendapati, dua lelaki menaiki dua buah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa, beberapa kelongsong peluru juga ditemui di sekitar tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Lelaki maut ditembak pada malam Tahun Baharu Cina
Shafee berkata, semakan polis mendapati mangsa mempunyai 11 rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis.
Mayat mangsa di hantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Shafee berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil menghubungi polis bagi membantu siasatan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Nurul Farahida Ismail ditalian 019-5658059 atau 04-5382222." katanya.
Jenayah | Lelaki ditemui mati dengan 12 kesan tembakan
Dalam kejadian 8.45 malam Isnin, seorang lelaki ditemui mati dengan 12 kesan tembakan dalam kejadian di tempat kereta di tingkat tiga kondominium mewah di Jalan Baru Perai.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tingkat tiga kondominium berkenaan.
Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam namun siasatan lanjut masih dijalankan.
#ditembak di parkir #lelaki bermotosikal #Seberang Perai #polis pulau pinang