Lelaki maut dalam kebakaran rumah di Ipoh
Astro Awani
Mei 22, 2020 16:24 MYT
Mei 22, 2020 16:24 MYT
Seorang lelaki maut dalam biliknya yang terbakar di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Ipoh Garden Timur di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 10.31 pagi itu, mayat M. Paramanandan, 44, yang melecur 60 peratus badan dijumpai terbaring di atas lantai biliknya di tingkat atas rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, operasi pemadaman segera dijalankan dengan api berjaya dikawal kira-kira jam 10.44 pagi dan dipadamkan sepenuhnya beberapa minit kemudian.
"Kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik di tingkat atas rumah itu dengan anggaran kemusnahan rumah itu sebanyak 30 peratus.
"Tindakan pantas anggota telah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke ruang lain rumah tersebut," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Katanya, punca kejadian masih disiasat.