Lelaki maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Bakri
Bernama
Januari 25, 2020 22:30 MYT
Januari 25, 2020 22:30 MYT
Seorang lelaki maut manakala seorang wanita melecur dalam kebakaran di bilik di sebuah rumah di Taman Sri Bakri 3, Muar, hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Jefri Jamal berkata mayat Lim Liah Chin, 35, ditemui dalam keadaan melecur kira-kira 80 peratus di loteng bahagian atas rumah berkenaan sejurus kebakaran dipadamkan.
"Bomba menerima panggilan kebakaran itu menerusi talian MERS 999 pada 1.03 tengah hari tadi dan seramai 12 anggota bomba bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar serta Pagoh termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Jefri berkata wanita berkenaan yang dianggarkan berumur 50-an dihantar ke hospital oleh EMRS, namun, identitinya belum dapat dikenalpasti kerana dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mayat Lim diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi pemadaman di bilik yang 90 peratus terbakar tersebut tamat pada 5.55 petang tadi.
Punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu sedang disiasat, katanya.
-- BERNAMA