Lelaki maut bunuh diri terjun lombong

Nazialita Geynna Maharan
Ogos 27, 2017 22:34 MYT
Operasi pencarian dijalankan dan mangsa berjaya djumpai pada jam 8.06 malam pada kedalaman satu meter dan lebih kurang dua meter dari tebing lombong. - Foto: JBPM
Seorang lelaki mati lemas selepas terjun dalam sebuah lombong dipercayai untuk membunuh diri dalam sebuah kejadian berhampiran pasar awam, dekat sini hari ini.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kampar berkata mangsa berusia 38 tahun itu maut setelah terjun ke dalam lombong itu untuk percubaan membunuh diri dalam kejadian sekitar 7.15 petang.
Katanya, pihaknya BBP Kampar menerima panggilan sekitar 7.36 malam dan bergegas ke tempat kejadian.
"Kami menerima laporan awal mengenai cubaan bunuh diri ini dan setibanya jentera di tempat kejadian kami mendapati mangsa telah terjun dan tidak kelihatan di permukaan air.
"Operasi pencarian dijalankan dan mangsa berjaya djumpai pada jam 8.06 malam pada kedalaman satu meter dan lebih kurang dua meter dari tebing lombong,"katanya kepada pemberita.
Menurutnya, anggota yang hadir bertindak menggunakan besi pencengkam (grappling iron) untuk mengesan kedudukan mangsa sebelum ditemui di dalam lombong itu.
Tambahnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shariman Mohd Yusof itu tamat sekitar 8.29 malam.
#bomba #bunuh diri #JBPM #Kampar #penyelamat #terjun lombong
;