Lelaki maut, Alza bertembung lori di Gerik

Aida Aziz
September 27, 2022 17:37 MYT
Mangsa dikenali sebagai Nor Azelan Jaafar, 42, tersepit di bahagian kerusi pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto JBPM Perak
GERIK: Seorang lelaki maut selepas kereta jenis Perodua Alza yang dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah lori di Jalan Gerik, Bukit Banding, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Nor Azelan Jaafar, 42, tersepit di bahagian kerusi pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.36 petang.
"Kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan sebuah lori. Didapati pemandu lelaki dari Perodua Alza itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
"Tiada mangsa lain yang terlibat, mangsa pandu berseorangan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar kenyataan itu lagi, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudiannya mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas.
Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Kamarul Ariffin Abd Ghani.
#lelaki maut #kemalangan gerik #rempuh lori #Perodua Alza
;