Lelaki mati lemas sewaktu tangkap itik liar
Astro Awani
Januari 6, 2018 16:46 MYT
Januari 6, 2018 16:46 MYT
Seorang lelaki berusia 50 tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam kolam tadahan air di Bandar Enstek, Nilai, sewaktu keluar menangkap itik liar, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa Shamsudin Mat Jinin ditemui pada jam 11.21 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) jabatan itu, kira-kira 25 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.
Beliau berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui tersangkut pada beberapa kayu yang terdapat dalam kolam itu pada kedalaman lebih 5 meter.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam dengan kekuatan 12 anggota bomba termasuk pasukan PPDA, serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) gagal menemui sebarang petunjuk.
Operasi berkenaan disambung seawal 7.30 pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, mangsa dilaporkan pergi ke kolam tadahan air yang terletak di Lengkok Teknologi Techpark itu bersama seorang rakannya sekitar pukul 6.30 petang Jumaat.
Mangsa kemudian dikatakan masuk ke dalam air untuk mengambil itik yang termasuk pada jerat yang dipasang di situ.
Berdasarkan siasatan awal, rakan mangsa memberitahu mangsa cuba berenang untuk naik semula ke tebing, namun secara tiba-tiba tenggelam dan hilang.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.