Lelaki mati lemas ketika menjaring ikan

Sinar Harian
November 16, 2022 21:52 MYT
Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Selasa ditemukan lemas di dalam palung di Parit 8 Gambut di sini, pada Rabu. - Sinar Harian
SABAK BERNAM: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Selasa ditemukan lemas di dalam palung di Parit 8 Gambut di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mayat mangsa berusia 55 tahun itu ditemui anaknya dalam keadaan terapung pada jam 7.55 pagi.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dan isteri pergi memasang jaring ikan dan udang di palung berdekatan rumah.
"Bagaimanapun, isteri mangsa pulang ke rumah pada jam 6.45 petang semalam (Selasa) dan mangsa sempat berpesan tidak balik kerana pada sebelah malam hendak berkawal di khemah gerakan sebuah parti di simpang Parit 8 Timur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Agus Salim memaklumkan, isterinya mula berasa curiga apabila suaminya tidak pulang ke rumah pada jam 6 pagi Rabu.
"Isteri mangsa kemudian menghubungi anaknya memaklumkan perkara itu sebelum anaknya ke tempat bapanya memasang jaring," ujar beliau.
Beliau memberitahu, anaknya yang tiba di tempat kejadian tergamam sebaik menemui bapanya terendam dalam palung dan tersangkut pada jaring.
"Mayat mangsa kemudian dinaikkan pihak bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," jelasnya.
Agus Salim memberitahu, hasil siasatan mendapati terdapat tali rafia terbelit pada lengan mangsa dan gunting terkalung pada lehernya dipercayai digunakan untuk mengikat jaring.
Tambah beliau, tiada kesan lebam atau kecederaan lain pada badan mangsa yang boleh mengakibatkan kematiannya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan.
"Bagaimanapun, hasil ujian saringan adalah negatif dan jenazah diserahkan kepada waris untuk urusan pengkebumian," katanya.
Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.05 pagi.
Beliau berkata, sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dikejarkan ke tempat kejadian.
Artikel asal di Sinar Harian
#lelaki ditemui lemas #menjaring ikan #Parit 8 Gambut #Sabak Bernam
;