Lelaki mati lemas jatuh dalam parit ketika tangkap ikan
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 30, 2021 10:11 MYT
Oktober 30, 2021 10:11 MYT
ALOR SETAR: Mohd Nazri Musa, 51 tahun, yang dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran sungai di Taman Alor Rela, Langgar, di sini semalam, ditemui lemas hari ini.
Jasad mangsa ditemui jam 7.07 pagi dalam keadaan terapung pada jarak 17 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan.
Perkara itu disahkan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain.
Katanya, jasad mangsa diangkat ke tebing sungai oleh anggota bomba menggunakan bot penyelamat.
"Jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis jam 7.57 pagi untuk tindakan lanjut.
"Pusat Kawalan Bomba (PKB) Alor Rela ditutup dan operasi tamat sepenuhnya jam 8 pagi hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam kejadian semalam, Mohd Nazri bersama beberapa rakannya dipercayai pergi ke kawasan itu untuk menangkap ikan selepas keluar dari rumahnya jam 10 pagi.
Bagaimanapun, ketika dia dikatakan sedang membuat tangkul ikan, rakannya yang lain beredar dari situ.
Dia disedari terjatuh ke dalam parit berhampiran sungai itu petang semalam selepas didapati motosikal serta dokumen peribadinya masih ada di situ, namun mangsa tiada.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi untuk melakukan pencarian sehingga mangsa ditemui pagi ini.