Lelaki mati ditembak di Kota Damansara

Bernama
Januari 4, 2013 23:55 MYT
Seorang lelaki mati ditembak ketika dia pulang ke rumah sepupunya di sebuah pangsapuri di Seksyen 8, Kota Damansara di sini malam ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata mangsa yang berumur 44 tahun dan berasal dari Kedah maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat oleh suspek yang menaiki sebuah kereta.
"Menurut orang awam yang menyaksikan kejadian itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal ditembak di dada dan tangan kanannya pada kira-kira pukul 9 malam dan maut ditempat kejadian.
"Mangsa datang dua tiga hari lepas untuk mencari kerja dan menumpang di rumah sepupunya di sini " katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Arjunaidi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Arjunaidi Mohamed #lelaki mati ditembak
;