Lelaki mabuk dipenjara, didenda sebabkan kematian dan cederakan anggota polis

Bernama
Mac 25, 2022 18:39 MYT
Mahkamah turut memerintahkan Mohan Rao dipenjara 10 bulan jika dia gagal membayar denda itu serta lesen memandunya digantung selama lima tahun. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki hari ini dipenjara empat tahun dan didenda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis dan mengakibatkan kecederaan parah ke atas rakan setugas polis itu, empat tahun lepas.
Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas N. Mohan Rao, 48, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan Mohan Rao dipenjara 10 bulan jika dia gagal membayar denda itu serta lesen memandunya digantung selama lima tahun.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Roshan Selvaratnam yang mewakili Mohan Rao untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara empat tahun itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohan Rao didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan sehingga menyebabkan kematian terhadap Konstabel Mohd Zamiri Sinsian, 25, dan kecederaan parah ke atas Konstabel Osman Ibrahim, yang ketika kejadian berumur 23 tahun di Jalan Semantan menghala ke arah pusat bandar di sini pada 3.30 pagi, 5 Dis 2018.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1) (b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhana Che Awang dan tertuduh turut diwakili seorang lagi peguam iaitu Tay Yi Kuan.
Seramai 15 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 2019 itu.
-- BERNAMA
#pemandu mabuk #sebabkan kematian polis #pandu melulu #N Mohan Rao
;