Lelaki lepas tembakan, cuba bunuh isteri di KLIA
Sinar Harian
April 13, 2024 07:30 MYT
April 13, 2024 07:30 MYT
SEPANG: Seorang lelaki bertindak nekad melepaskan tembakan kepada isterinya sebelum terkena individu lain dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di sini pada Ahad.
Mangsa dipercayai seorang pengawal peribadi itu parah akibat terkena tembakan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi.
"Siasatan mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan yang melepaskan tembakan kepada isterinya.
"Bagaimanapun tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Katanya, mangsa yang cedera kemudian mendapat rawatan awal sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan selanjutnya.
"Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai kes cubaan bunuh.
"Usaha memburu dan mengesan suspek terlibat sedang giat dijalankan," katanya.
Menurutnya, situasi di KLIA 1 berada dalam keadaan terkawal.
"Kejadian ini tidak melibatkan sebarang aktiviti keganasan dan situasi terkawal.
"Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian," katanya.
Pada Ahad, tular di media sosial berkaitan suasana di balai ketibaan KLIA 1 itu dikejutkan dengan bunyi tembakan mengakibatkan orang ramai cuba berlindung untuk menyelamatkan diri. - Sinar Harian