Lelaki lemas selepas terjatuh ketika riadah di Tasik Hijau, Bukit Lunchu

Nurul Izzatull Hani Seman
September 11, 2021 11:50 MYT
Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika beriadah bersama rakannya di Tasik Hijau, Bukit Lunchu, di sini, petang tadi. - Foto ihsan JBPM
PASIR GUDANG: Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ketika beriadah bersama rakannya di Tasik Hijau, Bukit Lunchu, di sini, petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Timbalan Penguasa Bomba Il Ibrahim Omar, berkata mayat mangsa, Mohd Faiz Daniel Maula Mohd Nor, 26 tahun ditemui di tasik berkenaan kira-kira jam 2.45 petang dalam operasi dan menyelamat membabitkan anggota bomba.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.22 pagi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati mangsa merupakan seorang pemuda lelaki berusia 26 tahun yang mengunjungi kawasan berkenaan untuk menjalankan aktiviti riadah telah lemas.
“Tindakan operasi membuat pencarian di sekitar persisiran tasik dan mayat mangsa kemudiannya ditemui pada kedalaman antara satu hingga dua meter pada jarak kira-kira 30 kaki daripada tempat mangsa terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat kira-kira jam 3.30 petang tadi,” katanya lagi.
#lemas #jatuh tasik #Tasik Hijau #Bukit Lunchu #BBP Pasir Gudang #Mohd Faiz Daniel Maula Mohd Nor #bomba