Lelaki lemas ketika memancing di lombong

Abd Razak Mohd Ali
Disember 23, 2019 17:43 MYT
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Foto JBPM
Seorang lelaki lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sebuah lombong di Kampung Pong, di sini, hari ini.
Mayat mangsa, Mohammad Sham Mohd Hassan, 33 tahun, ditemui anggota bomba dan penyelamat kira-kira jam 4.40 petang.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.29 pagi.
Katanya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba menerima maklumat daripada tiga rakan mangsa yang memaklumkan mangsa lemas.
“Operasi pencarian secara ‘water surface searching’ telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JPBM yang tiba di lokasi pada 3.45 petang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah selaman ke dasar lombong.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #lemas #lombong #mangsa #mayat #PPDA #SAR
;