Lelaki lemas ketika mandi di Sungai Bekelah
Bernama
Februari 10, 2024 19:33 MYT
Februari 10, 2024 19:33 MYT
KUANTAN: Seorang lelaki ditemukan lemas manakala dua rakannya selamat selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Bekelah, Gambang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mayat Harun Mahmud, 20, ditemukan pasukan bomba di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter, pada 12.54 tengah hari.
"Mangsa (Harun) dikatakan ke sungai itu pada 11 pagi untuk beriadah bersama enam rakan dengan berkonvoi motosikal. Mereka tiba di sungai itu 30 minit kemudian dan mangsa serta dua rakannya dikatakan mahu mandi di tempat lebih dalam.
"Mereka dikatakan dihanyutkan arus, namun dua rakan mangsa dapat berpaut pada dahan pokok manakala mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) hilang menyebabkan rakannya menghubungi talian kecemasan," katanya yang dihubungi hari ini.
Beliau berkata mayat Harun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat.
-- BERNAMA