Lelaki lemas dihanyut arus ketika menjala ikan
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 31, 2022 21:06 MYT
Ogos 31, 2022 21:06 MYT
ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki Rohingya ditemui lemas selepas dihanyutkan arus ketika menjala ikan di sungai berhampiran Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, dekat sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Anayatullah Habi Rahman, 27, dilapor hilang pada jam 9 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Mohd Khairi Zainuddin berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 7 malam.
"Difahamkan mangsa pergi menjala ikan bersama-sama rakannya pada jam 9 pagi.
"Semasa menyeberang sungai untuk pulang ke rumah selepas selesai menjala ikan, mangsa dihanyutkan arus dan hilang.
"Mangsa ditemui pada jarak 15 meter dari tempat dipercayai hilang. Mayatnya tersangkut pada ranting-ranting kayu hanyut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.