Lelaki lemas dihanyut arus deras bersama motosikal

Sinar Harian
Julai 22, 2023 15:56 MYT
Orang awam membantu mengangkat motosikal mangsa yang terjatuh ke dalam terusan tengah MADA di Titi Dua Lapis, Pendang. -Foto Sinar Harian
PENDANG: Seorang pemuda ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai di kawasan terusan tengah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Titi Dua Lapis.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.20 malam Jumaat ketika mangsa yang berusia 20 tahun menunggang motosikal seorang diri.
Menurutnya, mangsa dipercayai dari arah Bukit Raya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Radin, dekat sini.
“Mangsa terkapai-kapai minta tolong dan cuba dibantu orang awam yang berada di sekitar tempat kejadian. Ketika itu arus deras menyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan terus tenggelam,” katanya di sini pada Sabtu.
Arriz Sham berkata, anggota dari Balai Polis Pendang digerakkan ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat.
“Mangsa kemudian dibawa ke darat dengan bantuan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang. Namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara, Ketua BBP Pendang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.32 malam Jumaat.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Pendang tiba di lokasi melakukan pencarian dan menemui mayat mangsa sekitar 8.26 malam. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #motosikal jatuh sungai #Titi Dua Lapis #terusan tengah MADA
;