Lelaki lemas di Pantai Batu Layar, seorang masih hilang

Sinar Harian
Julai 21, 2024 18:13 MYT
Mayat seorang lelaki yang ditemui lemas di Pantai Batu Layar, Kota Tinggi pada petang Ahad. -Foto Sinar Harian
KOTA TINGGI: Salah seorang daripada dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Batu Layar dekat sini, pada pagi Ahad ditemui lemas pada sebelah petang.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Mohammad Saifulizam Mohd Rofi berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemui pada jam 3.19 petang.
"Mangsa dijumpai anggota bomba pada jarak 100 meter dari pantai Batu Layar. Mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu, pasukan penyelamat mempergiatkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa dikenali sebagai Haqim Abdul Rahim Lee, 20.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.38 pagi.
Susulan itu, enam anggota bomba dan jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut Mohammad Saifulizam, jarak antara pesisiran pantai hingga lokasi kedua-dua mangsa dilaporkan hilang ialah kira-kira lima kilometer.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. -Sinar Harian
#operasi mencari dan menyelamat #Pantai Batu Layar #Muhammad Syahmie Zamzam #Mohammad Saifulizam Mohd Rofi
;