Lelaki larikan bas sekolah ditahan selepas kemalangan

Sinar Harian
Januari 30, 2023 07:30 MYT
Bas sekolah yang dilarikan seorang lelaki sebelum terbabas di tepi Lebuh AMJ berdekatan Taman Malinja. -Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang pencuri bukan sahaja berputih mata malah ditangkap ketika cuba melarikan sebuah bas yang diparkir di sebuah stesen minyak di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, pada petang Isnin.
Kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu menyebabkan bas sekolah berkapasiti 44 penumpang itu mengalami kerosakan teruk apabila bas yang dipandu pencuri tersebut terbabas di tepi Lebuh AMJ berdekatan Taman Malinja.
Ahli keluarga pemilik bas, Zaidi Basri, 42, berkata, dia terus ke lokasi kejadian apabila dimaklumkan bas yang diusahakan bapanya, Basri Jafar, 68, terlibat dalam kemalangan selepas dilarikan individu terbabit.
Menurutnya, kerugian dianggarkan ribuan ringgit apabila cermin hadapan bas berusia 20 tahun itu pecah akibat rempuhan pada papan tanda selain kerosakan pada bahagian tangki apabila bas terhumban ke dalam longkang.
"Setelah bas terbabas, lelaki itu cuba melarikan diri ke hutan berdekatan namun berjaya ditangkap orang ramai.
"Selepas itu kami menghubungi polis dan menyerahkan lelaki berusia 30-an itu untuk tindakan lanjut kepada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ujarnya, meskipun mengalami kerugian, namun bersyukur insiden itu tidak mendatangkan kecederaan kepada pengguna jalan raya lain.
"Syukur nasib baik tidak pengguna jalan raya yang tercedera dan bas terbabas di tepi jalan," katanya. -Sinar Harian
#larikan bas sekolah #Lebuh AMJ #Zaidi Basri #Taman Malinja
;