Lelaki lari pemeriksaan polis ditemui mati di Sungai Perak

Sinar Harian
Julai 28, 2024 09:23 MYT
Mayat lelaki ditemui dalam keadaan terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor pada Sabtu.
GERIK: Seorang lelaki yang lari daripada pemeriksaan polis ditemui mati dalam keadaan terapung di Sungai Perak dekat Kampung Jagor di sini pada Sabtu.
Mangsa ditemui sekitar jam 5.40 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, mayat mangsa berjaya dibawa ke jeti Kampung Jagor hasil operasi dijalankan bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Menurutnya, berdasarkan siasatan dijalankan, mangsa adalah individu sama yang meloloskan diri dalam Op Tapis dijalankan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada Khamis lepas.
"Semasa operasi dijalankan berhampiran Titi Batu 6 Bersia itu, mangsa telah melarikan diri ke arah sungai dan tidak dapat dikesan.
"Operasi mencari telah dijalankan sehinggalah mangsa dijumpai semalam (Sabtu)," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan ke atas mangsa di Hospital Gerik mendapati, punca kematian tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat telah reput.
Bagaimanapun katanya, pemeriksaan dijalankan mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.
"Kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#lelaki lari dari polis #ditemui maut #Polis Gerik #terapung di Sungai Perak