Lelaki lari dari pengawasan polis di Parit Buntar ditemui mati
Abd Razak Mohd Ali
Disember 31, 2022 10:20 MYT
Disember 31, 2022 10:20 MYT
IPOH: Seorang lelaki yang lari dari pengawasan polis di Parit Buntar, Perak, ditemui mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor, Ipoh, lewat Jumaat malam.
Setakat ini punca sebenar kematian lelaki berusia 37 tahun itu masih dalam siasatan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian lelaki itu kira-kira jam 11.28 malam.
Menurutnya, hasil semakan mendapati si mati telah melarikan diri daripada pengawasan polis dari Parit Buntar.
Katanya, sebelum ini, pihak Balai Polis Parit Buntar juga telah membuat satu laporan terhadap si mati yang disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pencegahan Jenayah.
Beliau berkata, adik ipar lelaki si mati yang baru menumpang di rumah berkenaan selama seminggu memberitahu, pada masa kejadian, dia terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan si mati kena langgar.
Tambahnya, ketika membuka pintu, saksi mendakwa ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran melarikan diri dari tempat kejadian.
Katanya, saksi ternampak si mati berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap tetapi tidak mengatakan apa-apa kepadanya.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada beberapa anggota badan mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan.
Bagaimanapun, kata Mohd Yusri, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian.
Bedah siasat akan dijalankan hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan pihak polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut.