Lelaki langgar lari warga Singapura dibebas dengan jaminan polis

Bernama
September 2, 2017 21:04 MYT
Rakan-rakan mangsa dipetik sebagai berkata pihak Hospital Sultanah Aminah lambat bertindak menghantar ambulans untuk menghantar mangsa ke hospital itu. - Gambar fail
Lelaki yang melanggar lari seorang warga Singapura hingga menyebabkan kematiannya pada 25 Ogos lalu, telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata siasatan kes bagaimanapun masih berjalan.
"Suspek berusia 30an ditahan di sekitar Johor pada pukul 3 pagi semalam, namun, telah diberikan jaminan hari ini setelah beberapa tindakan diambil.
"Keretanya juga masih kita rampas untuk pemeriksaan lanjut dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya sebaik siasatan lengkap," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media sebelum ini, melaporkan mangsa Justinian Tan, 25, masuk ke Johor Bahru bersama rakan-rakannya untuk makan lewat malam.
BACA: Kemalangan warga Singapura: Mungkin ada salah faham - rakan mangsa
Bagaimanapun, ketika menuju ke kereta mereka untuk pulang kira-kira 3 pagi, sebuah kereta Proton Saga telah merempuh mangsa lalu menyebabkannya tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun setibanya di sana, rakan-rakan mangsa memberitahu media Singapura kononnya HSA enggan memberikan rawatan jika mereka tidak membayar deposit.
Rakan-rakannya juga dipetik sebagai berkata pihak hospital lambat bertindak menghantar ambulans untuk menghantar mangsa ke hospital itu.
Namun, dakwaan tersebut disangkal oleh Kementerian Kesihatan dengan menegaskan bahawa berdasarkan rekod, Tan telah diberikan rawatan kecemasan pada kadar segera tanpa syarat bayaran deposit.
-- BERNAMA
#Hospital Sultanah Aminah #ikat jamin #Johor #Johor Bahru #kemalangan #langgar lari #Mohd Khalil Kader Mohd #Singapura #suspek
;